24 NOV 10AM-4PM

Project Studio Level 4

WISMA GEYLANG SERAI

Simposium Tari Nusantara

Conducted in Bahasa Melayu

Dr Azhar Ibrahim Alwee

Jabatan Pengajian Melayu

Universiti Nasional Singapura

Azrin Abdul Rahim

Pengarah Eksekutif

Era Dance Theatre

Free Admission with Registration

Presenter 1:

Tarian Sebagai Pemberdayaan Budaya ke Arah Literasi Seni Yang Berpadu

Dr Azhar Ibrahim Alwee

Abstrak

Tarian sering dipadankan dengan ketrampilan identiti nusa bangsa. Dari tarian kita bisa menelusuri jejak langkah sejarah sesuatu bangsa atau kelompok. Tarian juga boleh berperanan sebagai wadah dan sumbu pemberdayaan budaya sekiranya ia dapat merangkumi keprihatinan seperti: (a) sejarah budaya yang berkembang dalam sebuah masyarakat atau rantaunya ; (b) keterkaitan persembahan tarian dengan bentuk kesenian lainnya seperti musik , busana dan tatarias (c) dimensi estetis dan simbolisme yang terungkap dalam tarian kerana ia sebahagian daripada pengungkapan manusia akan kedirian dan kesanggupannya.

Menekuni tarian makanya bukanlah setakat bersifat technical mastery, melainkan ia menuntut kepekaan sejarah dan budaya, selain estetis seni yang tinggi, lunak dan mudah didekati. Itulah yang harus terbina dalam literasi seni guna membangun repertoire tarian yang bisa menjadi pemacu pemberdayaan budaya yang menjadikan penari dan penonton sama terangkul dan tergerak oleh sentuhan sejarah, nuansa budaya, alunan estetis, serta tangkas menafsir simbolisme dan mampu berimaginasi kultural, demi penguatan peribadi dan solidaritas dengan sebudaya dan serumpun.

Tentang Dr Azhar

Dr Azhar Ibrahim Alwee adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau mengajar kesusasteraan Melayu klasik, termasuk sastera Melayu moden dan Indonesia serta ideologi pembangunan. Tumpuan kajian beliau adalah sosiologi sastera, teologi sosial, wacana peradaban dan pemikiran Islam, serta minat dalam hal-hal literasi kritis dan pembangunan intelektual Nusantara. Antara buku beliau yang pernah terbit ialah: Memikir-ulang Tradisi untuk Pembaharuan (2018),   Historical Imagination and Cultural Responses to Colonialism and Nationalism: A Critical Malay(sian) Perspective (2017), Menyanggah Belenggu Kerancuan Fikiran Masakini (2016), Utopia Masyarakat Lambak  (2015), Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi (2014), Bahasa dan Tantangan Intelektualisme (2014) Contemporary Islamic Discourse in the Malay-Indonesia World ( 2014) dan Narrating Presence: Awakening from Cultural Amnesia. (2014).

Presenter 2:

Meneroka Kesejahteraan Kesihatan Menerusi Praktisi Tari Melayu

Encik Azrin Abdul Rahim

Abstrak

Presentasi seminar ini meneroka perpaduan mendalam antara kesihatan, kesejahteraan, dan ungkapan budaya melalui praktis tarian Melayu, juga dikenali sebagai "Tarian Melayu". Berasal dari budaya Melayu kuno di rantau Asia Tenggara, tarian Melayu telah berkembang selama beribu-ribu tahun, dipengaruhi oleh pelbagai tradisi budaya dan keagamaan. Bentuk tarian ini memegang makna mendalam dalam masyarakat Melayu, berperanan sebagai saluran untuk penceritaan, upacara keagamaan, dan ekspresi istana.

Seminar ini mengkaji peranan tarian Melayu sebagai kenderaan holistik untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal, mental, dan emosi. Melalui penerokaan menyeluruh, pembentangan ini akan menjelaskan komponen-komponen asli tarian Melayu yang menyumbang kepada promosi kesihatan dan kesejahteraan.

Dengan mensintesiskan konteks sejarah, kepentingan budaya, dan aplikasi kontemporari, seminar ini bertujuan untuk menyediakan peserta dengan perspektif holistik mengenai faedah berpotensi dari menggabungkan tarian Melayu dalam rutin kesihatan dan kesejahteraan. Ia mengajak untuk penyelidikan lanjut dan kajian mengenai interaksi dinamik antara bentuk tarian tradisional dan amalan kesejahteraan holistik, serta menggalakkan penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan budaya yang tersemat dalam tarian Melayu.

Tentang Encik Azrin

Visi Azrin Abdul Rahim untuk mengangkat seni tari tradisional Singapura ke peringkat akademik mendorongnya untuk terus menimba ilmu. Dengan latar belakang ijazah sarjana dalam Kaunseling Profesional dari Swinburne University of Technology, Australia, beliau baru-baru ini telah melengkapkan pengajian ijazah sarjananya yang kedua dalam bidang Psikoterapi Eksistensial dan Kaunseling di Middlesex University, United Kingdom. Pada masa yang sama, Azrin kini sedang giat mengemban kajian untuk meraih gelar Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Kajian Tarian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Malaysia.

Azrin tidak hanya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, tetapi juga dalam seni bela diri. Beliau memulakan latihan Pencak Silat pada usia lima tahun dan pada usia 16, mewakili Singapura dalam berbagai pertandingan Silat antarabangsa, termasuk Sukan SEA pada tahun 1985. Pada tahun 1989, Azrin mengambil bahagian dalam kursus intensif selama 21 hari atas undangan Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) dan meraih sijil Jurulatih Nasional Silat Olahraga dari Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI), sebagai bukti kemahirannya dalam seni bela diri tradisional ini. 

Azrin telah memperoleh pengalaman yang kukuh dalam bidang kaunseling. Beliau memulakan langkah pertamanya dalam bidang ini pada tahun 2003, dan kini, Azrin adalah ahli klinikal dan kaunselor berdaftar dengan Persatuan Kaunselor Singapura (SAC).

Minat mendalam Azrin terhadap seni Melayu telah menggerakkan beliau untuk terlibat dalam usaha inovatif untuk mengintegrasikan seni persembahan seperti tarian Melayu tradisional, teater, dan Silat dalam bidang kesihatan mental melalui psikoterapi dan kaunseling. Dengan sokongan dari rakan sejawat dan pakar-pakar dalam bidang ini, Azrin menyuguhkan  pendekatan yang menggabungkan keahlian seniman dan pakar terapi untuk menawarkan alternatif terapi yang holistik dan meyakinkan berbanding terapi konvensional. Azrin berhasrat untuk melaksanakan program ini kepada masyarakat yang lebih luas, membolehkan individu yang memerlukan bantuan mendapat manfaat dari interaksi terapeutik yang lebih menyeluruh.